APA ITU KARIES? BAGAIMANA GIGI BERLUBANG BOLEH BERLAKU?


Pernah tak dengar terma 'karies'? Kalau pergi ke klinik gigi, karies merupakan salah satu sebab utama gigi sakit. Kalau kita kurang biasa dengar perkataan 'karies', mungkin kita lebih familiar dengan keadaan 'gigi berlubang'. 

Karies merupakan keadaan gigi yang sudah reput. Kalau korang pernah alami sakit gigi, kadang-kadang sampai tak boleh tidur, kemungkinan itu disebabkan oleh karies. Kalau sakit gigi ni, boleh buat kita tak ada mood. Dahlah sakit, rasa nak marah je 24/7 pulak tu.

Jadi, hari ni saya nak ajar apakah punca gigi kita berlubang, bagaimanakah gigi kita boleh berlubang, apakah faktor risiko gigi berlubang, cara untuk mencegah dan merawatnya.

PUNCA


Punca utama gigi berlubang ialah makanan manis. Walaupun ada banyak faktor lain yang main peranan, tanpa pengambilan gula, gigi kita tidak akan berlubang. 

Untuk gigi berlubang berlaku, 4 faktor perlu diambil kira; permukaan gigi, gula, bakteria dan masa. Saya akan terangkan serba sedikit untuk setiap faktor.


1. Permukaan gigi

Pada permukaan gigi kita, ada satu lapisan dipanggil biofilm yang terbentuk daripada air liur. Dalam lapisan ini terdapat protein yang membolehkan bakteria untuk melekat padanya. Bukan setakat protein saja, nutrien untuk bakteria juga tersedia membolehkan bakteria untuk kekal hidup. Biofilm ini akan sentiasa terbentuk pada permukaan gigi. Lepas gosok gigi sekali pun, lapisan ini akan terus terbentuk.


2. Gula 

Terdapat dua jenis gula yang available; intrinsic dan extrinsic sugar. Intrinsic sugar ni basically gula yang terkandung dalam membran sel makanan contohnya macam buah-buahan. Extrinsic sugar pula seperti gula-gula, cookies dan aiskrim. 

Gula yang menyebabkan gigi berlubang ialah extrinsic sugar. Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, kita kena kurangkan pengambilannya.
 

3. Bakteria

Tak semua bakteria akan 'makan' gula yang kita makan. Bakteria spesis seperti Streptococcus dan Lactobacillus dikenali sebagai cariogenic bacteria. Bakteria ini akan metabolise gula dan menghasilkan asid. Secara semula jadi, asid bersifat menghakis. Oleh sebab ini, asid akan menghakis enamel gigi sehingga berlubang. Apabila gigi sudah mula berlubang, enamel gigi tak akan dapat melekat semula menyebabkan gigi berlubang selamanya. Penyelesaiannya hanyalah dengan 'tampal' gigi. 


4. Masa 

Stephan Curve

Bakteria mengambil masa untuk menghakis gigi. Berdasarkan graf di atas, pH mulut kita yang secara neutralnya bersifat alkali akan turun ke tahap asid selepas makan. Apabila kita membiarkan pH mulut kita terus turun sehingga bawah pH 5.5 (pH kritikal), gigi kita akan mulut menghakis. Jadi, bagaimana nak naikkan semula ke pH alkali? Teruskan baca, nanti saya akan beritahu jawapannya!


FAKTOR RISIKO


Untuk faktor risiko, saya akan terangkan beberapa golongan yang lebih berisiko untuk mendapat karies.


1. Kanak-kanak

Rampant caries

Hal ini kerana struktur enamel gigi kanak-kanak nipis. Enamel merupakan lapisan putih pada crown gigi. Gigi berlubang adalah disebakan oleh enamel terhakis. Oleh itu, jika enamel kita nipis, maka cepatlah gigi akan berlubang kerana enamel yang ada sedikit sahaja sebagai perlindungan.

Selain daripada itu, kanak-kanak sering minum susu. Oleh itu, sangat penting untuk ibu bapa mendidik anak-anak untuk berhenti minum susu pada umur 2 tahun dan elakkan campur gula pada susu anak-anak. 

Karies kanak-kanak dipanggil 'rampant caries' disebabkan karies yang terdapat pada banyak gigi.


2. Perokok 

Merokok menyebabkan pengurangan aliran air liur di dalam mulut. Antara fungsi air liur adalah untuk membersihkan gula yang ada. Lebih kurang seperti menyapu sampah, penyapu itu air liur, manakala gula itu pula kekotoran atau habuk. 


3. Ubat yang menyebabkan mulut kering 


Antara ubat yang menyebabkan mulut kering ialah ubat untuk darah tinggi. Darah tinggi merupakan salah satu penyakit yang common di Malaysia. Jadi, jika anda ada mengambil atau mengenali sesiapa yang mengambil ubat untuk darah tinggi atau antihypertensive dan mempunyai simptom-simptom mulut kering, boleh rujuk pada dentist berhampiran. Sama seperti penjelasan pada point sebelumnya, kurang air liur bererti kurang gula yang dibersihkan daripada mulut kita. 


4. Warga emas

Apabila sudah menginjak usia, maka sel-sel akan mula mati. Begitu juga fungsi kelenjar air liur. Apabila kelenjar air liur kurang berfungsi, maka berkuranglah air liur yang terhasil. Nampak tak betapa pentingnya air liur dalam kesihatan mulut kita? Walaupun menggelikan, tapi tanpa air liur, siapalah kita!


5. Sjogren's syndrome

Sjogren's syndrome merupakan penyakit sistem immun. Antara simptom yang common ialah kekeringan mulut dan mata. Penyakit ini bersifat autoimmune di mana sistem immun kita secara tidak sengaja menyerang sel tisu, sedangkan antibodi sepatutnya menyerang partikel berbahaya. 


CARA PENCEGAHAN


Beralih pula pada point ketiga untuk post kali ini iaitu cara mencegah pembentukan karies atau gigi berlubang. Dalam Dentistry, saya diajar dengan konsep 'Minimal Intervention Dentistry'. Terma ini bermaksud, kita perlu mengekang treatment, sebaliknya perbanyakkan pencegahan. Sebagai pelajar tahun 3 Pergigian, untuk setiap pesakit yang saya rawat, saya diwajibkan untuk memberi Oral Health Education pada mereka. 


1. Kurangkan pengambilan gula

Terhadkan pengambilan gula pada waktu makan utama sahaja; sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam iaitu 4 kali sehari maksimum. 

Mengikut WHO, kuantiti gula yang disarankan untuk dewasa ialah 60g sehari bersamaan dengan 5 sudu teh. Jadi, cuba bayangkan berapa banyak gula yang kita ambil dalam sehari? Tak termasuk lagi gula yang kita tambah dalam masakan.

Tambahan pula, elakkan makan gula satu jam sebelum tidur. Jika anda masuk tidur pukul 12:00 malam, pukul 11:00 malam tak boleh makan gula lagi. Kalau tekak rasa haus, boleh gantikan dengan air kosong. 


2. Gosok gigi menggunakan ubat gigi mengandungi florida

Dalam Dentistry, saya diajar untuk mengesyorkan fluoride, fluoride dan fluoride. Florida dalam ubat gigi, florida dalam mouthwash, florida dalam air mineral, florida dalam garam, florida dalam susu hahaha. Semua sebab nak tekankan kepentingan florida punya pasal.

Jadi, sebelum beli ubat gigi, wajib periksa dulu bahan kandungan. Konsentrasi florida yang diperlukan untuk dewasa ialah 1500ppm (parts per million bersamaan dengan mg/L). Konsentrasi bawah 1000ppm adalah tidak efektif.

Florida penting untuk kuatkan enamel gigi. Seperti apa yang saya terangkan tentang Stephan curve, apabila pH mulut kita berada kurang daripada pH 5.5, gigi akan mula terhakis. Florida bertindak untuk menurunkan pH kritikal hingga ke bawah pH 5.5 supaya walaupun pH mulut berada pada pH 5.5, gigi masih tidak terhakis. 

Selain daripada itu, florida dicampur dengan phosphate dan kalsium dalam air liur, mampu membentuk struktur enamel yang terhakis selagi gigi belum berlubang. 

Ingat, kita perlu gosok gigi sekali sebelum tidur dan pastikan  jangan makan apa-apa selepas gosok gigi.


3. Floss sekurang-kurangnya sekali sehari

Kebiasaannya, karies akan mula terbentuk di celah gigi, tempat di mana susah berus gigi untuk capai. Kadang-kadang kita tak nampak yang sebenarnya karies dah mula terbentuk. Sebab itu pentingnya untuk kita floss. Jadi, celah gigi kita akan bersih daripada plak gigi.


4. Melawat klinik gigi 2 kali setahun

Buat masa sekarang, dengan COVID-19 yang tengah menular, lagi-lagi muncul pulak delta variant dan macam-macam lagi, untuk berjumpa doktor gigi kerajaan agak sukar. Kalau tak keberatan, bolehlah ke klinik swasta untuk buat check up.


CARA MERAWAT


Cara merawat karies bergantung pada sifat karies itu sendiri, sama ada aktif atau inaktif. Dentist akan periksa keadaan gigi, buat beberapa pemeriksaan seperti X-ray dan Pulp Sensibility Test untuk tengok keadaan gigi sama ada masih boleh dirawat atau perlu cabut atau dipanggil juga 'extraction.' Jadi, saya akan senaraikan beberapa pilihan rawatan yang mungkin akan dikemukakan. 


1. Tiada rawatan 

Tiada rawatan yang perlu dilakukan jika karies tidak aktif. Hanya perlu perbaiki cara penjagaan gigi dan penjagaan diet.


2. Tampal gigi

Ini adalah antara rawatan yang sering dilakukan di klinik. Dentist akan bersihkan bahagian gigi yang sudah reput, kemudian gigi akan ditampal ke bentuk asal. Antara bahan yang digunakan untuk tampal gigi ialah amalgam, composite dan glass ionomer cement


3. Root Canal Treatment (RCT)

Untuk rawatan ini, maksudnya akar gigi kita dah terdedah dan akar gigi dah dijangkiti oleh bakteria. Jadi, dentist akan bersihkan akar gigi kemudian akan tambah crown. 


4. Extraction 

Untuk gigi yang sudah tidak boleh diselamatkan kerana banyak struktur gigi sudah reput dan tidak mempunyai struktur yang cukup untuk tampal gigi. 


Itu saja untuk post kali ini, saya ada sertakan senarai sumber yang saya guna sebagai rujukan. Ada juga beberapa ilmu yang saya kongsi berdasarkan apa yang saya pelajari. Mungkin ilmu yang saya kongsikan tak seberapa, tapi harap dapat membantu serba-sedikit. Selamat menjaga kesihatan mulut!

(Disclaimer: Gambar diambil dari Google)

Sumber:
1. https://www.intechopen.com/chapters/60503
2. https://jamiethedentist.com/dental-caries-decay/stephan-curve/
3. https://smartmouth.com/blog/cottonmouth-from-smoking/
4. https://slidetodoc.com/xerostomia-defined-as-the-subjective-sensation-of-oral/
5. https://www.amberauger.com/article/xerostomia-your-patients-worst-nightmare 

4 Comments

  1. skrg ni nak jumpa dentist swasta kena buat temujanji gak... kalau dentist gov tu gilirannya ntah bila la. anyway, thanks for the tips...

    ReplyDelete
  2. sma2 la kita jaga gigi kita.. antara aset penting dlm diri. <3

    ReplyDelete