FIXI REVIEW: SEMPURNA KARYA AIMAN HAZZIQ (SPOILER FREE)

Seminggu telah berlalu sejak Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) tempoh hari. Saya telah membeli 3 buah buku dan salah satunya ialah Sempurna yang ditulis oleh Aiman Hazziq. Karya Sempurna ialah karya kedua penulis yang telah saya baca. Karya pertama beliau ialah Permainan yang saya baca pada zaman bangku sekolah menengah dulu. Saya tak berapa ingat jalan cerita Permainan secara terperinci, tapi yang saya ingat, saya kurang gemar dengan cerita tu. 

Jadi, macam mana pula dengan Sempurna?

Bukanlah saya nak bandingkan dua buah buku yang berlainan, tapi agak sukar untuk tidak dibandingkan sebab Sempurna diterbit 5 tahun selepas Permainan. Semestinya ada pembaikan. 

Tapi sayang sekali...

Bukanlah saya kecewa kerana cerita Sempurna ini mengarut atau ditulis dengan acuh tak acuh. Saya mengaku, idea dan konsep sangat menarik, lebih-lebih lagi apabila tema persahabatan diketengahkan. Tapi saya rasa semua yang berlaku dalam buku terlalu cetek.

Mari kita rungkai satu persatu aspek.

1. Sinopsis

Mereka berlima mempunyai satu tradisi. Dua tahun sekali, mereka akan berkumpul untuk sebuah weekend reunion. Dua tahun sekali tanpa gagal. Sehinggalah reunion mereka yang keempat, salah seorang daripada mereka memecahkan berita bahawa dia punya kanser paru-paru yang fatal.

Berita itu mengubah landskap grup mereka, walau seketat mana pun mereka cuba berpegang sesama sendiri. Reunion kelima membawa mereka menyusuri satu perjalanan yang diatur si penghidap kanser. Setiap daripada mereka diberi klu, untuk mencari sesuatu yang ditinggalkan sahabat mereka yang sudah pergi.

Ini kisah perjalanan lima sahabat rapat, yang kini tinggal empat. (Sumber: goodreads)

2. Plot & Jalan Cerita

Pada awal satu per-empat buku, saya sangat teruja untuk meneruskan pembacaan. Permulaan dengan pertemuan Kurt dan Emir di stesen bas untuk memulakan reunion mereka 5 sekawan, berborak mesra jelas menunjukkan keakraban mereka. Jalan cerita semakin menarik apabila Kurt memaklumkan dia tidak punya jangka hayat yang panjang lagi.

Air mata saya menitis dan tanpa sengaja buku Sempurna membuat saya teresak dengan pemergian Kurt. Penulis sememangnya pandai menulis untuk bermain dengan perasaan pembaca. Setiap bait memberi impak yang realistik. 

Tapi semuanya hanya sementara. Bila Emir, Sid, Liz dan Aria memulakan perjalanan untuk memenuhi permintaan Kurt pada reunion terakhir mereka, saya sudah mula bosan. 

Saya rasa unsur saspens yang bertandang lesap begitu saja sebab terlalu banyak flashback kisah silam mereka pada zaman persekolahan yang buat cerita terasa lambat. Saya faham flashback tu penting untuk tunjukkan keakraban 5 sekawan sewaktu Kurt masih hidup, tapi bagi saya ada sesetengah flashback yang saya tak ambil peduli. Lebih-lebih lagi bila saya tak cukup invested dengan watak-watak.

Sudahlah flashback ada banyak, bila mereka mulakan perjalanan pun saya rasa semua mission dicapai dengan terlalu mudah. Tak ada unsur usaha atau saspen. Atau mungkin saya yang mengharapkan pada sesuatu yang tak mungkin berlaku. 

Semua benda yang patut dicari berjaya ditemui dengan kebetulan. Bagi saya agak sedikit tidak realistik. Tapi saya faham, kalau nak ada unsur mencari harta benda tersembunyi, panjang berjelalah jadi ceritanya. 

Penghujung cerita lagilah tak mampu selamatkan jalan cerita yang macam kapal hampir karam. Saya ada idea apa yang penulis cuba sampaikan, tapi saya lebih suka kalau penulis boleh tamatkan dengan kemas. Atau ending begitu disengajakan?

3. Pengajaran

Saya suka bila penulis ada selitkan bermacam lagi topik tentang kehidupan seharian dalam cerita. Penulis cuba kaitkan apa yang watak lalui dengan apa yang berlaku dalam hidup seseorang. Dari isu persahabatan, seksualiti, kesusahan hidup keluarga, domestic abuse dan child grooming. 

Walaupun saya puji penulis sebab cuba memasukkan macam-macam isu untuk menjentik kesedaran dalam pembaca, tapi semuanya diceritakan secara ringan. Kalau penulis fokus pada satu topik dan ambil masa untuk huraikan dengan lebih mendalam, saya pasti penceritaan jadi lebih menarik dan teratur.

4. Penambahbaikan

Bagi saya, kalau buku ini diceritakan dari first POV oleh Emir, pasti lebih emosi. Pembaca dapat menghayati perasaan Emir atas pemergian Kurt. 

Mungkin boleh juga selitkan lebih banyak tentang masa silam Kurt. Bukan sekadar beritahu, tapi tunjuk dan ajak pembaca lalui kehidupan Kurt bersama supaya kita dapat kenal Kurt dengan lebih dalam. Oleh sebab saya tak kenal Kurt, jadi saya tak rasa kosong dengan pemergiannya. Saya tak dapat rasa macam saya yang baru kehilangan sahabat. 

Saya rasa penulis terlalu fokus pada jalan cerita hingga aspek emosi agak terabai.

Tapi semua ini hanya pendapat saya semata-mata. Mungkin bagi orang lain cerita ini menarik, tapi lain pula bagi saya. Yang pasti, cerita Sempurna lebih menarik daripada Permainan. 

Ratings: ★★★

0 Comments