It Gets Personal #1 | Friends with benefits

Sempena pertengahan tahun 2023, aku rasa nak mulakan benda baru dalam blog readwithkai. Walaupun tak nampak, tapi aku dapat rasa blog ni dah penuh dengan sarang lelabah. Aku cuba untuk set satu niche untuk tampak lebih profesional dengan harapan aku boleh bawa blog ni ke persada yang lebih luas. Tapi macam biasa, apa aku buat selalu kecundang. Memang salah aku juga sebab tak konsisten. Jadi aku fikir, pergi matilah nak bunyi macam robot. Kononnya profesional tapi aku tak rasa asli dengan diri sendiri. Niat aku buat blog suatu ketika dulu pun sebab aku suka menulis dan aku dapat ketenangan bila bermandikan perkataan. Akhirnya aku ambil keputusan untuk mula berjurnal. 

Maka lahirlah siri It Gets Personal ini. Aku tak tahu sama ada aku akan konsisten atau tak tapi aku akan cuba. Oleh sebab aku banyak meluangkan masa sendirian, tanpa teman atau telinga yang ditadah untuk mendengar kegusaran, aku rasa platform inilah yang sebaiknya untuk aku simpan kewarasan. Terlalu bingit dalam kepala aku sampai aku boleh hidup tanpa bercakap dalam sehari sebab aku dah pun kepenatan. Hanya dengan konversasi di latar minda dah cukup buat aku tercungap. 

Jurnal ini tak akan ada format. Aku akan biarkan jari-jemari aku menari tak ikut rentak. Biarkan hati aku yang tunjukkan arah sebelum sampai ke otak. Mungkin aku panggil apa yang aku buat ini sebagai berjurnal untuk tutup kebenaran yang aku kesunyian dan aku mencari alasan untuk berborak dengan rakan imaginasi aku. 

Tanpa buang masa, hari ni aku nak bincangkan tentang topik Friends with Benefits. Aku rasa, kita semua familiar dengan label yang aku maksudkan. Aku rasa, spesies ini semakin meliar di persekitaran. Tapi bukan friends with benefits yang kita selalu gunakan. Maksud aku, sejenis manusia yang licik mengambil kesempatan atau digelar juga opportunist. Kebiasaannya opportunis ni hidup sendirian sampailah dia perlukan seseorang, nanti dia akan muncul dan gunakan orang yang lemah untuk kepentingan sendiri. Bila fikir balik, selfish bunyinya, bukan?

Sejak kecil lagi aku memang senang dipergunakan. Lebih-lebih lagi sebab aku tak ada ramai kawan jadi aku sangat hargai sedikit mana kawan yang aku ada. Walaupun sebenarnya perangai kawan yang sedikit aku ada tu tak boleh dikira sebagai kawan. Aku rela dipergunakan dan dilayan macam kelapa yang dah tak ada isi, bila dah siap meratah, kulit aku dibuang. 

Mungkin orang yang buat aku macam tu tak sedar apa dia buat tu sebab aku nampak okey saja sendirian. Mungkin dia nampak tapi dia tak peduli asalkan hidup dia terisi penuh. Mungkin dia nampak tapi dia abaikan sebab perasaan aku tak layak dijaga. Mungkin dia nampak tapi dia sangka orang tak nampak taktik dia. Mungkin dia tak nampak sebab dia dah terbiasa. 

Disebabkan aku selalu ditinggalkan seorang diri, aku terfikir, mana yang lebih baik? Meninggalkan atau ditinggalkan? Aku terfikir kata-kata daripada Osamu Dazai yang berbunyi lebih kurang, adakah lebih baik kita menunggu atau buat orang tertunggu? 

Sebagai orang yang selalu ditinggalkan, aku tak tahu apa perasaan meninggalkan jadi aku tak pasti. Tak ada pendapat yang aku boleh kongsi. Aku terfikir, orang yang meninggalkan sedar tak kesunyian yang aku tempuhi hari demi hari? Sedar tak banyak tempat aku tak dapat pergi sebab tiada teman? Sedar tak aku tak ada sesiapa untuk cerita tentang masalah dan minat aku? Tak rasa bersalah ke biar aku dengar masalah dia tapi tak nak labur masa untuk aku? Tak rasa bersalah ke tepis penderitaan aku sebelum aku sempat sampai ke penghujung? Pernah terfikir tak, mungkin aku nak tangan aku dipegang sedang aku diseksa?

Kalau hubungan cuma beroperasi secara satu arah, sebelah pihak terus menerima dan sebelah lagi terus memberi, aku rasa cukuplah. Aku tak patut biarkan diri diperah dan terus diperah, sedangkan air kat lautan pun boleh kering, apatah lagi hati manusia. Teruskan jaga kepentingan diri bagai takhta sang puteri. Teruskan jadi duri yang sentiasa menyakiti. Teruskan bila diminta tolong sentiasa berlari. 

Aku akan terus menggunakan karya fiksi untuk mengisi hati. 

0 Comments