MOVIE REVIEW | Talbis Iblis Mencetuskan Kontroversi?

Talbis Iblis merupakan filem yang mencetuskan kontroversi apabila ia telah diharamkan untuk ditayang di Brunei. Sungguhpun begitu, di tanah air, filem ini telah berjaya memenangi hati lokal apabila berjaya mengutip RM4 juta setelah tiga minggu tayangan. 



Sinopsis

Cerita ini bermula dengan adegan pada tahun 1990 yang menampakkan Junaidah yang sedang sarat mengandung, dipukul oleh bapanya dan ditolak jatuh ke tangga. Ahli keluarga Junaidah yang lain sekadar berdiri di tepi dan tidak cuba untuk menyelamatkan Ju. 

Sudahnya, Ju dan teman lelakinya, Nasir terpaksa menanam bayi yang sudah meninggal di kawasan rumah. Ju yang tidak sanggup melihat mayat anaknya diturunkan ke liang lahad, merampas jasad itu daripada Nasir. Melihatkan Ju yang berkeras kepala, Nasir menawarkan untuk membawa Ju berjumpa seorang bomoh.

30 tahun kemudian, Ju menyediakan perkhidmatan membuang bayi secara tradisional di rumah agamnya. Arshad dan Hajar yang sudah terlanjur, mengambil keputusan untuk menyingkirkan kandungan bayi di dalam perut Hajar yang sedang sarat mengandung. Dikelilingi kawasan hutan dan salakan anjing pada malam hari, Hajar berasa tidak sedap hati dengan tempat tersebut. Apakah misteri di sebalik pokok besar di belakang rumah agam itu? Siapakah Mak Ju yang sebenar?


Ulasan

Sebelum saya memulakan ulasan, adalah lebih baik jika saya memberi amaran. Bagi saya filem ini tak sesuai buat para ibu mengandung atau sesiapa yang lemah semangat. Adegan yang dipaparkan agak explicit dan tak disorok-sorok. 

Pada mulanya, saya tertanya, apakah maksud Talbis? Oleh sebab kali terakhir saya ambil mata pelajaran Bahasa Arab adalah pada darjah 6, saya tak tahu 'talbis' itu berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud penipuan. Jadi, Talbis Iblis bermaksud Penipuan Iblis. Kalau saya tahu maksud tajuk filem ini terlebih dahulu, mungkin saya akan kurang terkejut dengan apa yang berlaku pada hujung filem. 

Kalau ikut lakonan, semuanya best sebab tengok barisan pelakon pun tahu. Kita ada Azira Shafinaz, Nasha Aziz dan Zul Ariffin. 

Dari segi plot, pada awalnya agak slow. Rungkaian apa yang pernah terjadi pada Junaidah dan apa motif Junaidah menyimpan bayi Hajar dibuat secara gradual. 

Filem yang berlangsung selama sejam setengah ini lebih banyak memainkan unsur jumpscare dan efek bunyi menyeramkan. Jurukamera juga memainkan peranan penting dalam menambahkan efek seram. 

Dari segi jalan cerita, bagi saya amat menarik sebab berjaya menimbulkan persoalan-persoalan yang buat saya kekal tonton hingga ke penghujung. 

Buat peminat cerita seram, mungkin filem ini kurang sesuai kerana jumpscare yang digunakan tidak sesuai. Hantu yang membuat kemunculan juga tidak nampak begitu menyeramkan. Tetapi untuk beginner atau sesiapa yang jarang kali menonton filem genre horror, bagi saya filem ini cukup memuaskan. 

Rating: ★★★★

2 Comments